Saturday, October 13

Babak Cinta #8

       Jam di dinding rumah sudah pun menunjukkan tepat jam 5 petang . Asfan harus menjemput adiknya dari tadika . Segera dikemaskan meja yang agak bersepah dengan pelbagai jenis kertas A4 itu . Kunci keretanya di ambil .

Sebelum keluar , Asfan menjenguk kamar ibunya yang berada di tingkat bawah bagi memudahkan pergerakan ibunya di dalam rumah .

Tombol pintu itu diputar perlahan . Meninjau sekiranya ibunya sudah bangun dari tidur atau belum . Dia tersenyum melihat ibunya yang masih lena dalam tidur . Tak mengapalah , dia enggan mengejutkan ibunya . Ditutup kembali pintu kayu itu . Segera dia pamit pada Kak Lela yang sedang menyiapkan minum petang buat mereka sekeluarga nanti .

Sudah kelihatan pelajar-pelajar cilik di Tadika Cinta Sayang bermain di perkarangan tadika sambil menunggu ibu bapa masing-masing untuk dijemput . Buaian serta jongkat-jongket yang tersedia ada di situ turut menjadi pilihan mereka untuk bermain . Tidak kurang juga yang sedang bermain di dalam tadika . Ada juga yang sedang membantu guru mereka mengemas bilik darjah . Di suatu sudut di ruang tamu kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang melukis sesuatu di buku lukisannya yang bercorak Upin Ipin .

"Adik , lukis apa tu ?", Lisa menegur dari belakang . Anak kecil tadi segera berpaling . Dia senyum . Lisa membalas . Lalu dia duduk di bangku kecil bersebelahan kanak-kanak tadi .

"Adik lukis gambar keluarga , adik . Yang ini ibu . Yang ini Kak Lela . Yang ini abang long", jelasnya sambil menunjukkan lukisan empat orang yang dilakarnya . Lisa menggangguk .

"Kalau ini ibu , ini kakak dan yang ini abang , gambar ayah mana ? Yang kecil ni mesti gambar adik , kan ?"

"Ayah tak ada . Adik tak pernah tahu muka ayah . Jadi adik tak lukislah". Lisa seakan-akan mengerti maksud anak kecil itu . Dia menggangguk perlahan . Lalu diusap rambut anak kecil yang diikat dua sisi itu . Mereka berdua saling tersenyum .

"Nama adik siapa ?"

"Aileen . Kata abang itu nama ayah dengan ibu adik"

"Oh ye ? Sedap nama adik . Nama akak Lisa"

"Aileen !" Tiba-tiba namanya dipanggil . Aileen segera mencari-cari suara yang memanggilnya tadi . Rupa-rupanya salah satu cikgu di tadika itu .

"Abang Aileen dah sampai tu". Beritahu cikgu muda lepasan ijazah itu . Aileen menggangguk faham . Dikemas buku lukisan juga alat lukisannya itu . Lisa yang masih disisi membantu Aileen mengemas . Ditemani anak kecil itu ke muka pintu .

"Abang !". Ceria suara Aileen setelah melihat abangnya di pintu pagar tadika . Disambut mesra oleh abangnya itu . Lalu didukungnya Aileen . Dikucup pipi tembam Aileen . Saling tersenyum mereka berdua .

Lisa hanya berdiri di depan pintu . Ditenungnya lelaki yang dipanggil 'abang' oleh Aileen tadi . Matanya berusaha untuk terbuka luas untuk melihat dengan lebih jelas . Wajah lelaki itu seperti dikenalinya . Lalu dia menghampiri mereka berdua .

"Asfan ?"

"Eh ! Lisa !"


2 comments:

Felly Sophia said...

Banyak yang saya sudah tertinggal. Tapi satu hari saya akan baca juga Babak Cinta kamu. :)

n u r e e c h a said...

Terima Kasih Felly ! C=