Sunday, July 28

Bukan Saatnya Lagi

Hari ini adalah hari pertama Juwita bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat yang boleh tahan terkenal juga di ibu kota. Syarikat ini sudah tak terhitung jumlahnya keluar-masuk dalam berita, majalah juga di laman sosial. Pendek kata, rakyat Malaysia pasti kenal akan keberadaan syarikat ini. Tapi itu bukan tujuan asal cerita ini. Kita ke perenggan seterusnya.

           Hari pertama bekerja dah bermacam tugas Juwita pelajari. Dia sudah bertekad - ingin mempelajari apa jua ilmu selagi mampu. Hari pertama bekerja saja, majikannya sudah pun kagum pada kesungguhannya bekerja. Juwita tidak ingin mensia-siakan peluang ini. Dia ingin memperbaiki segala kelemahan diri. Dia ingin berjaya seperti kaum wanita yang lain di luar sana. Tak mengapa walau hanya sebagai kerani, asalkan dia belajar sedari bawah - lebih afdal baginya.

           Hampir sebulan bekerja di syarikat yang agak terkenal itu, sepasang mata bundarnya berjaya menangkap sesuatu yang hampir membuat dia gila bayang. Dia sudah jatuh cinta! Seorang makhluk bernama lelaki yang secara diam telah berjaya mencuri perhatiannya. Hampir setiap hari, matanya tak pernah menyerah mencuri pandang pada lelaki itu. Dia berusaha untuk mengetahui nama lelaki itu. Sungguh-sungguh dia mencari tahu! Kata dah jatuh cinta ye dak.

           Haiman Hafiy. Itulah nama diberi. Betapa gembiranya hati Juwita setelah mengetahui nama lelaki tersebut. Kini setelah Juwita tahu akan nama lelaki idamannya itu, boleh dikatakan setiap masa terluangnya dia akan membuat origami berbentuk hati. Setelah banyak hasil origaminya, dia masukkan kesemuanya ke dalam satu bekas khas untuk diisi. Lalu dia hadiahkan bekas berisi origami tersebut buat Haiman Hafiy, lelaki idaman dirinya.

           Hari ini, sudah masuk 99 hari dia bekerja di syarikat yang agak terkenal itu. Hatinya masih terasa seronok untuk datang bekerja walaupun kadangkala kerjanya sudah mula banyak dan bertimbun hingga tak menang tangan. Kerana satu niatnya, iaitu Haiman Hafiy. Demi Haiman Hafiy, demi rindunya buat Haiman Hafiy, dia perlu hadir ke pejabat. Biarlah ia tidak terbalas pun, asalkan dia dapat tatap wajah jejaka itu pun sudah berbaloi baginya. Sedang asyik dia mengelamunkan saat Haiman Hafiy menegurnya suatu masa dulu, dia didatangi rakan sepejabatnya iatu Amira.

"Wei, kau pergi tak wedding Haiman minggu depan?" Lamunannya terhenti. Matanya membulat.

"Wedding Haiman? Bila masa pulak dia kahwin? Dia kan single?" Debaran di dadanya mula tak keruan. Bahunya dipukul manja.

"Kau ni mimpi apa, Ju? Dah masuk sebulan dah akad nikahnya. Minggu depan sanding dah pun!" Kedengaran gelak tawa Mira di hujung telinganya.

           Hatinya tidak puas. Segera dia ke meja Haiman Hafiy yang terletak 50 meter dari mejanya. Dia perlu mendapatkan kepastian. Setibanya di meja Haiman Hafiy, dia terlihat foto perkahwinan Haiman Hafiy. Bahagia. 'Macam mana selama ni aku boleh tak sedar?!' Marah hatinya.

"Ye, Juwita?" Tegur Haiman Hafiy setelah terlihat kelibat Juwita di hadapannya. Senyuman turut terlukis diwajah bahagia lelaki itu.

Bekas yang berisi origami yang dihadiahkan pada Haiman Hafiy dulu diambil, lalu dicampak ke lantai.

"Penipu!" Haiman Hafiy kaget. Tercengang dia melihat sikap Juwita.

            Hari-hari Juwita kini mula berubah. Dia tidak lagi bekerja di syarikat yang agak terkenal itu. Dia ingin membawa hatinya ke tempat yang sepatutnya. Dia sedar akhirnya. Hatinya itu tiada lagi jiwa untuk bercinta. Yang ada cuma hati untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang manusia yang bercita-cita tinggi untuk memperbaiki kehidupannya. Dia harus memperbetulkan niatnya sedari awal dulu. Dia ingin menjadi wanita yang berjaya dalam hidup, bukan dalam percintaan. Bukan saatnya lagi.


No comments: