Sunday, October 28

Babak Cinta #12

"Jom turun ? Nanti mak aku risau . Ingat aku dah hilang ." Serentak tangan kanan dihulur Nazmi .

Lisa menyambut dengan tawa kecil . Lengan Nazmi dirangkul kemudian . Mereka berjalan seiringan .

"Nasib kau bukan adik aku , Lis ."

"Kau nak buat apa kalau aku ni adik engkau ?" Tanyanya aneh .

"Mungkin lama dah aku jodohkan engkau dengan orang yang baik-baik . Macam aku ."

Lisa tersenyum mendengar . Dia faham akan maksud sebenar Nazmi . Dari dulu lagi , dia sedar yang Nazmi agak kurang senang dengan kehadiran Isham di antara mereka . Cuma Nazmi tidak pernah menunjukkan perasaan itu dalam bentuk susunan abjad di hadapannya . 

'Mungkin kerana mereka ini entiti yang bernama lelaki , wajarlah kiranya kalau mereka ini ada sifat saling menolak . Macam magnet . Atau mungkin juga Nazmi takut Isham akan merampas dia daripadanya !' Lisa tersenyum sinis lagi membayangkannya . Sempat Nazmi menjeling .

"Muhamad Nazmi , ke sini !" Perintah Khalid sebaik saja kelihatan mereka berdua menuruni tangga bersama . Seraya tangan tadi dilepas segera . Nazmi memandang Lisa kehairanan . Lisa sekadar mengangkat bahu tanda tidak pasti mengapa Nazmi dipanggil .

Nazmi patuh . Dia berjalan terus ke arah Khalid sambil membalas pandangan mak dan abah yang sedang berdiri di sebelah kanan Khalid . Puan Numa pula berdiri di kiri suaminya .

"Ya , pak cik ?"

Khalid tiba-tiba tersenyum kepadanya yang mendekat . Ragu-ragu Nazmi untuk membalas senyuman itu . Aneh ! Namun diturutkan saja .

"Kamu sayangkan Karlisa ?" Lantas soalan itu yang keluar .

Sedikit lega . Fikirnya pak cik Khalid ingin memarahinya tadi . Nafas lega sesaat jika bukan yang itu .

"Ya . Saya sayangkan Lisa . Macam pak cik dengan mak cik juga ." 

Soalan yang terlampau mudah untuk dijawab . Dia menoleh ke belakang memandang Lisa yang turut tersenyum kepadanya .

'Kembang lettuw !'

Belum sempat dia menoleh ke hadapan semula , tubuhnya yang sedikit tinggi daripada Uncle Khalid-nya di peluk erat . Terkejut dia . 

"Pak cik dah agak ! Asri , rasanya tak ada halangan lagi kalau kita teruskan saja pernikahan mereka ." Ucap Khalid pada ayah Nazmi .

Sentap . Nazmi yang mendengar membulat matanya . Apakah benar yang ditangkap oleh kedua-dua telinganya tadi ?! Dia kaget . Benar-benar kaget . Jantungnya makin laju pula berdegup . Khalid berkali-kali memeluknya . Peluk . Bahu ditepuk-tepuk . Peluk . Ketawa . Peluk . Hilai tawa kegembiraan si ibu bapa memecah kesunyian ruang tamu itu . 

Dada Nazmi turun dan naik berulang kali . Masih seakan sukar dipercaya bagaimana orang tua mereka boleh sepakat untuk menjodohkan mereka secara tiba-tiba . Segera matanya mencari bayangan Lisa . Apa yang perlu dia lakukan sekarang ? Soalan yang cuba disampaikan melalui pandangan mata .

Namun Lisa hanya berdiri mendiamkan diri di tepi sofa paling hujung . Dia juga tidak tahu apa yang perlu dilakukan . Tangan kirinya erat menggenggam bucu sofa tanpa disedari . Dia memandang Nazmi kebingungan .

'Tak . Tak mungkin . Ini tak patut . Bukankah mereka tahu kami berdua sekadar kawan baik . Aku sangat sayang pada persahabatan ini . Tak mungkin ! Mama ... '

Kepalanya tiba-tiba terasa berat . Berat sekali . Bayangan mereka tidak kelihatan . Kabur . Tangan kanannya cuba mencapai kepalanya yang mula terasa seperti dicucuk-cucuk . Namun dia akhirnya jatuh .

"Lisa !!"


Friday, October 26

Babak Cinta #11

       Karlisa Najwa memasuki perkarangan rumahnya dengan wajah yang sugul . Airmatanya pula sudah lama kering . Dia sudah kelihatan seperti manusia yang tak punya hati . Kosong . Perlahan-lahan dia berlalu menuju terus ke pintu masuk rumahnya .

"Baru balik sayang ? Macam mana hari pertama di tadika tadi . Seronok tidak ?" tanya Puan Numa yang sedang mengelap pinggan kaca di meja makan berdekatan dengan ruang tamu kediamannya .


Lisa hanya menggangguk lalu senyuman diukirkan jua bila mamanya menegur . Lantas dia berjalan menuju ke tangga . Bersahaja .


"Oh ! Ya sayang . Tadi mak Nazmi call . Dia ajak keluarga kita dinner di rumah mereka . Wa mandi dulu ya ? Nanti kita pergi bersama ."


Kaki Lisa terhenti . Dia mengeluh perlahan . Kalau diikutkan hati , terasa sangatlah malas untuk dia kemana-mana waktu itu . Jasadnya sudah seperti memaksa dirinya agar lena terus dibuai mimpi hingga ke esok hari dan jika boleh buat selama-lamanya ! Dengan harapan , biar lukanya terhapus dimamah mimpi . Yang sekecil zahrah sekalipun ! Namun demi menyimpan perasaannya itu daripada pengetahuan mamanya , dia harus pergi . Sebelum disedari nanti , lebih baik dia pergi saja .


"Okey ma," balasnya ringkas dengan nada jelas kedengaran tidak bermaya . Gagah kakinya menaiki anak tangga rumahnya yang diperbuat daripada kayu jati itu . Bagaikan sedang memikul sebuah bebanan yang berat . Puan Numa sekadar memerhati perlakuan Lisa . Dia menggeleng perlahan .



* * * * *

Malam hari ini Puan Asnah telah menyajikan masakan yang cukup istimewa buat keluarga Lisa yang akan bertandang untuk makan malam bersama . Di atas meja bujur yang memuatkan lapan orang itu sudah tersedia lauk pauk yang semestinya membangkitkan selera dengan aromanya yang mampu menerobos masuk di setiap ruangan di dalam rumah . Termasuk rongga hidung !

Ditengah-tengah meja diletakkan semangkuk besar yang diisikan ketam yang dimasak cili api . Disisinya pula terdapat sayur-mayur yang dipelbagaikan gaya masakannya . Ada yang ditumis , ada yang dijadikan sup dan ada juga yang dijadikan sebagai ulam . Tidak ketinggalan ayam masak merah yang menjadi kegemaran Lisa dan anaknya sendiri .

Selesai saja makan , Lisa secara diam-diam mengangkat kaki untuk ke beranda rumah Nazmi di tingkat atas . Pinggan mangkuk tadi juga telah dia selesai basuh . Anak tangga pertama dipijak . Dia menoleh ke belakang . Melihat mama juga papanya sedang seronok berbual bersama ibu bapa Nazmi . Dia teruskan saja niatnya untuk ambil angin di atas saja . Mood untuk bersembang tiada buat masa ini .

"Tunggu aku ke ?" tegur Nazmi dari belakang selang beberapa minit .

Lisa yang sudah berada di balkoni rumah hanya duduk mendiamkan diri melihat bintang di langit . Cantik-cantik bisiknya . Terus ditenung . Mencari-cari bintang yang paling bersinar . Mungkin itu mampu menyedapkan hatinya malam itu . Teguran Nazmi tadi sekadar dibalas dengan senyuman .

"Amboi . Khusyuk ." Mendongak-dongak kepala Nazmi memandang langit . Mencari-cari agaknya apa yang ditenung sebegitu rupa oleh Lisa . Lalu dia duduk di kerusi bersebelahan Lisa . Mug yang dibawa diletakkan di atas meja kecil di tengah-tengah . Nazmi mengalihkan pandangan ke wajah temannya yang kelihatan agak pucat itu . Hanya bibirnya yang tampak sedikit merah jambu . Namun masih kelihatan manis jika dipandang sekali imbas .

"Mak aku masak tadi sedap tak ?" Memancing lagi .

"Sedap !" Jawab Lisa riang .

"Habis tu , kenapa diam je dari tadi ? Aku ingat mak aku masak masin sangat ke sampai tak boleh bersuara engkau . Ni !" Dihulurkan mug yang dibawa tadi .

"Hot chocolate ?" Diambil lalu dihirupnya perlahan . Mata dipejam serentak . Terasa keenakkannya . Ditambah lagi kehangatannya jika diminum sewaktu cuaca sejuk . "Makin sedap !" Puji Lisa tersenyum .

Nazmi tersenyum bangga .

"Mi ..."

"Hm ?" Kedua kening Nazmi diangkat .

"Kau pernah bosan tak kawan dengan aku ?"

"Kalau bosan lama dah aku pergi lepak tempat lain sekarang" Balasnya tanpa menunjukkan apa-apa reaksi di wajahnya . Lisa hanya tersenyum mendengar jawapan teman baiknya itu .

"Kau tak nak cari kawan baru lagi ?"

"Kawan aku dah berlambak !" Penuh yakin . "Lagipun aku tak nak cari kawan dah . Aku nak cari bini . Ke ... kau nak jadi bini aku ?" Dipandang tepat wajah Lisa . Keningnya diangkat berulang kali .

"How sweet ..." Lisa menunduk muka . Senyuman tadi masih ada .

"Lilis ..." Nama manja Lisa sewaktu mereka kecil dulu . Pernah juga diejeknya dengan sebutan ikan bilis . Gaduh besar pada mulanya . "Apa yang sebenarnya mengganggu fikiran engkau ?" Tanya Nazmi lembut . Dia sedar ada sesuatu yang tidak kena pada diri Lisa sedari makan malam tadi . "Kau risau aku akan tinggalkan kau ? Hey ?" Disentuh bahu kanan Lisa . Nazmi mencari-cari wajah Lisa yang menunduk dari tadi .

"Aku ... Aku dah jumpa dia tadi ..." Jawabnya dengan nada yang bergetar . Perlahan . Nazmi mendekatkan kerusi .

"Dia ? Maksud kau , Isham ?" Tiada yang lain selain lelaki itu . Nazmi tahu tekaannya pasti tepat sama sekali . Siapa lagi kalau bukan budak tu . Marahnya cuba dikawal . "Isham ke Lis ? Dia ada jelaskan apa-apa tak ?"

"Tak . Tak sempat . Aku berlanggar dengan dia kat McD siang tadi . Aku blur ! Aku blank terus bila nampak dia . Aku tak sangka aku boleh jumpa dia . Aku terus lari . Aku ..."

Mug tadi digenggam erat kedua belah tangan Lisa . Dia mengetap bibir .

"Its okay , Lis . Mungkin lain hari siapa tahu korang berdua akan jumpa lagi . Aku agak dia tinggal tak jauh ni . Siapa tahu jodoh !"

"Tapi apa aku nak buat kalau aku jumpa dia lagi ? A ... Apa aku nak cakap depan dia , Mi ? Aku rasa aku tak mampu berdiri pun bila nampak dia" Rintih Lisa yang suaranya mula kedengaran seperti hendak menangis .

Nazmi beralih tempat duduk di sisi kanan Lisa .

"Lisa , we will figure it out , okay ? Just chill . Aku akan selalu ada untuk tolong engkau" Bahu Lisa dipaut ke sisinya . Lisa mengelap air matanya yang jatuh satu persatu .

"Menangis sajalah kalau itu mampu buat kau sedikit lega nanti . Tak apa . Baju aku berlambak dalam almari tu . Menangis lah ..." Lisa yang mendengar tiba-tiba tertawa kecil lalu membetulkan duduknya sedikit ke kiri . Air mata diseka habis . Dia mengerutkan dahinya sambil memandang Nazmi yang seakan mengunci mulutnya dari tergelak .

"What ? Aku cakap betullah !"

Lisa tersenyum . Betapa bertuahnya dia mengenali Nazmi yang tak pernah jemu hatta merungut mendengar bebelan yang keluar daripada dirinya sedari kecil lagi . Terutama soal jejaka yang disukainya itu juga . Nazmi yang memandang hanya tersenyum . Dia mendongak langit semula . Lisa merenung dari sisi Nazmi . Senyuman dilemparkan lagi .

"Kau tahu kan aku paling sayangkan engkau , Mi . Kau kawan aku yang paling best !"

"Iye ? Aku baru je tahu ... tadi ." Mereka berdua tertawa serentak .

Tanpa mereka sedar , Puan Asnah telah berdiri di muka pintu beranda dengan senyuman yang paling lebar di seraut wajah ibu muda itu . Dia yakin akan niatnya itu selepas melihat kemesraan Nazmi juga Lisa tadi . Lekas dia turun semula ke ruang tamu dengan wajah gembira . Pasti hasratnya tidak akan ditolak mereka .



Wednesday, October 24

Babak Cinta #10

       Cuaca tiba-tiba mendung petang itu . Mungkin tidak lama lagi muntahlah segala isi di dalam awan ke bumi yang sudah sekian lama dibiar dalam kepanasan . Manusia mula berkejar-kejar untuk pulang ke rumah sebelum segalanya tergendala dek hujan .

Isham memandang langit seketika . Cuaca seakan tahu perasaan hatinya kini bila langit yang ditenung sudah agak gelap . Dia duduk di kerusi malas di beranda rumahnya . Dia runsing kini . Segala yang disimpan dulu sudah terlihat isinya . Lisa sudah di depan matanya tadi . Dia tidak harus bersembunyi lagi . Keluhan berat dilepaskan .

"Lambat laun Kak Lisa akan tahu juga , bang", ujar satu suara di belakang Isham .

Isham hanya menjeling . Tidak menoleh . Malah pandangannya beralih ke arah taman kecil milik bondanya yang tersusun rapi dengan pelbagai jenis bungaan . Dicari-cari bunga ros paling merah . Itu kegemaran Lisa juga merupakan hadiah pertama darinya buat Lisa dulu .

"Kenapa mawar plastik ?", tanya Lisa pada Isham di suatu ketika dulu mereka sedang makan angin di suatu destinasi di negeri Pahang Darul Makmur .

"Wa nak bunga betul ke ? Is boleh petik kat rumah orang putih tu . Banyak bunga kat situ", selorohnya . Lisa tersenyum mendengar .

"Is ni . Beritahulah kenapa mesti bunga plastik yang Is bagi ? Sedangkan orang lain kat luar sana bagi bunga yang asli . Malah berjambak-jambak". Sengaja dia memancing perhatian Isham . Masih dipusing-pusing Lisa bunga itu .

"Awak , yang bercinta dengan awak itu kan saya . Kenapa pula saya kena ikut orang lain . Saya sayang awak dengan hati saya . Jadi ikut gerak hati saya lah , kan ?"

"Amboi , manisnya dia bermain kata . Tapi , Wa suka dengar". Mereka berdua tertawa .

"Najwa , bunga plastik ni macam perasaan Is pada Najwa sebenarnya . Ia tak akan layu , akan terus mekar dan mengharum , begitu juga perasaan Is . Is tahu ramai perempuan yang lebih memilih bunga betul dari yang plastik . Harum wanginya , tapi terlalu bisa durinya . Kesian pula jari sayang Is nanti , kan ?"

Mendengar ucapan Isham , buat diri Lisa sungguh berharga dimata lelaki itu . Terasa sebak mendengarnya . Dia diam menunduk . Isham mencuit hidung mancungnya . Lalu tersenyum bahagia Lisa .

"Andai hubungan kita tak berpanjangan , Wa jangan lupa pada perasaan Is . Macam mana bunga plastik tu tahan lama begitu jugalah kasih sayang Is pada Najwa", ujarnya lembut . Senyuman terus terukir di wajahnya .

Lisa mengerti maksud kekasih hatinya itu . Mereka berdua hanyalah manusia biasa . Bukan ditangan mereka untuk menentukan dengan siapa mereka suatu hari nanti . Tidak bermakna juga cinta mereka tidak utuh andai terpisah , cuma takdir Illahi yang lebih berhak menentukan yang terbaik buat mereka yang disayangi .

"Abang"

Bahu Isham disentuh . Dia tersedar dari kenangan lalu . Cukup manis bila diingatkan kembali . Dia tersenyum seketika .

Namun seketika itu juga , terlalu sakit rasanya bila dia memikirkan kesalahan dirinya pada Lisa selama ini . Rasa bersalahnya mula mengunung di lubuk hati . Sudah tiga tahun dia menyimpan rahsia itu . Hari semakin berlalu , hatinya semakin dihiris sembilu .

Isham bangkit . Tiba-tiba kepalanya terasa pening . Hampir saja dia terjatuh . Menahan dirinya di kerusi malas tadi . Kepalanya dipicit-picit .

"Abang . Abang kenapa ni ? Abang belum makan ubat ke tadi ?". Isham menggeleng kepala .

"Marilah kita ke bilik . Ika tolong abang", ujar gadis itu . Dipapah lelaki berketinggian 180cm itu . Isham hanya menurut . Sakit kepalanya sudah tidak keruan .


Thursday, October 18

Babak Cinta #9

       Sememangnya hari yang indah itu tidak akan diduga kehadirannya . Ia datang membawa senyuman yang tanpa sedar telah terukir di wajah . Semahu hati berhadap agar masa itu terus berlaku dan berulang . Diharap ia tak akan pernah terhenti di sini .

Begitu juga hati Asfan terasa cukup senang sekali hari ini kerana dapat bersua dengan Lisa secara kebetulan . Sengaja dia mengajak Lisa dan Shira untuk makan bersama . Walaupun sebenarnya Lisa masih merasa segan juga enggan untuk berbual dengan Asfan , dia terima jua perlawaannya setelah Shira sengaja mengadu lapar .

"Kau bukan dah makan ke sebelum balik tadi ? Mengada !", bisik Lisa pada Shira yang duduk di belakang kereta Asfan . Asfan yang memasang telinga turut tersenyum .

Shira hanya tersenyum nakal . Terasa geram juga di sudut hati Lisa . Bukan dia tidak tahu maksud teman baiknya itu . Dia cukup pasti akan niat sebenar Shira . Apakan daya dia juga , terpaksalah dia ikut kerana dia tidak memandu hari ini . Nanti apa pulak hendak dijawab pada mamanya jikalau dia pulang menaiki teksi . Keluhan kecil dilepaskan .

"Lisa dah lama ke jadi cikgu kat tadika Aileen ? Tak pernah pulak terjumpa sebelum ni". Asfan memulakan perbualan tika mereka berempat ; Asfan , Aileen , Lisa dan Shira , sama-sama duduk di McDonald berhampiran dengan tadika untuk makan petang sambil membawa Aileen bermain sebelum pulang ke rumah .

"Tak . Sebenarnya baru datang interview hari ini . Sementara cuti semester ni kan . Sajalah mengisi ruang masa" . Diambil french fries di hadapannya lalu dimasukkan ke dalam mulut . Asfan menggangguk-angguk faham .

Pandangannya beralih ke arah Aileen yang sedang bermain bersama Shira di gelongsor yang berdekatan . Mereka berdua kelihatan mesra sekali . Fikirnya Shira sudah pasti lama mengenali Aileen kerana dia kerap juga ke tadika oleh itu mereka berdua sudah kelihatan seperti adik-beradik .

Walaupun pada awal pertemuannya dengan Shira semasa diploma dulu pernah Shira dilabel seperti anti-sosial itu sebenarnya seorang yang sangat protective , periang , manja dan pandai melayan kanak-kanak . Rupanya dia juga seorang yang banyak cakap ! Kadang-kadang Shira lah yang menjadi 'mama' kedua Lisa tika di universiti . Ya , bila sudah sebati bersama , segala-segalanya tidak perlu terlalu dikawal . Bila bersama sahabat , segalanya jadi mudah .

Lisa tersenyum melihat gelak tawa Aileen yang membuat dia teringat akan kisah kecilnya bersama Nazmi dulu . Mereka berdua sering bermain kejar-kejar . Ejek-mengejek jika masih tidak dapat ditangkap sudah cukup terbiasa antara mereka berdua . Semestinya nanti akan ada yang menangis kerana tidak tahan dibuli lalu mengadu pada mak masing-masing . Biasanya Nazmi lah yang mudah cengeng . Ketawa kecil dia mengingatnya semula . Tiba-tiba kangen pula dia pada waktu dulu .

Alangkah senangnya menjadi anak kecil yang hanya tahu bermain seperti Aileen . Mereka hanya bermain dan bermain sehingga penat lalu tidur . Tidak perlu membebankan fikiran memikirkan hal yang enggak-enggak . Tidak perlu juga menghadap kekejaman perasaan manusia yang mudah untuk berubah hati tanpa mempedulikan hati dan perasaan orang lain . Fikirannya mula membawa hati dan jiwanya entah ke mana-mana .

"Lisa ? Lisa ? Lisa okey ?", tanya Asfan setelah melihat Lisa tenggelam dalam lamunannya . Tak menyangka dia mampu terbayangkan segalanya kembali . Lisa sekadar menggangguk dan tersenyum . Lalu dia meminta diri untuk ke mencuci tangan .

"Eh !", bahu Lisa terlanggar akan seseorang setelah selesai dia mencuci tangan . Dia mengusap-usap bahu kanannya . Terasa sakit pula bila dilihat tubuh seorang lelaki yang dilanggarnya tadi . Dia menoleh ke belakang untuk melihat siapakah yang melanggarnya .

Matanya membundar tiba-tiba . Hatinya mulai berdebar-debar . Tangan kirinya masih memegang bahu kanannya . Dia mencengkam bahunya tanpa disedar .

"Najwa ?". Suara lelaki yang paling dirindui itu kedengaran di ruang telinganya . 

"I'm sorry .."

Lisa segera mengangkat kaki . Hatinya tidak kuat berhadapan situasi begini . Dia mahu saja berlari pulang . Langkahnya terhenti bila tangannya tiba-tiba direntap Shira dari belakang .

"Kau nak ke mana ni ?"

"Shira , jom kita balik ? Jom kita balik , Shira !". Badan Shira digoyang-goyangkan Lisa . Shira mula tak keruan melihat tingkah laku Lisa .

"Tapi kenapa Lisa ? Apa dah jadi ?". Cuba Shira menenangkan badan Lisa . Dipegang kedua-dua tangannya .

"Najwa !"

Lisa dan Shira menoleh tika nama itu kedengaran . Alangkah terkejutnya Shira bila dilihat Isham di depan matanya kini . "Isham ?!"

"Are you guys okay ?", tanya Asfan yang muncul bersama Aileen di sisi mereka berdua .

"Asfan , tolong hantar kami balik ke tadika boleh ?". Pinta Lisa . Segera dituruti saja selepas dilihat wajah lelaki di hadapannya itu .

Segera bergerak mereka ke arah tempat letak kereta . Shira masih memeluk sisi Lisa . Tenungan tajam diberikan pada Isham yang masih berdiri di hadapan McDonald itu .

"Abang ?". Panggilan seorang gadis yang disisi Isham kini . Isham menoleh .


Saturday, October 13

Babak Cinta #8

       Jam di dinding rumah sudah pun menunjukkan tepat jam 5 petang . Asfan harus menjemput adiknya dari tadika . Segera dikemaskan meja yang agak bersepah dengan pelbagai jenis kertas A4 itu . Kunci keretanya di ambil .

Sebelum keluar , Asfan menjenguk kamar ibunya yang berada di tingkat bawah bagi memudahkan pergerakan ibunya di dalam rumah .

Tombol pintu itu diputar perlahan . Meninjau sekiranya ibunya sudah bangun dari tidur atau belum . Dia tersenyum melihat ibunya yang masih lena dalam tidur . Tak mengapalah , dia enggan mengejutkan ibunya . Ditutup kembali pintu kayu itu . Segera dia pamit pada Kak Lela yang sedang menyiapkan minum petang buat mereka sekeluarga nanti .

Sudah kelihatan pelajar-pelajar cilik di Tadika Cinta Sayang bermain di perkarangan tadika sambil menunggu ibu bapa masing-masing untuk dijemput . Buaian serta jongkat-jongket yang tersedia ada di situ turut menjadi pilihan mereka untuk bermain . Tidak kurang juga yang sedang bermain di dalam tadika . Ada juga yang sedang membantu guru mereka mengemas bilik darjah . Di suatu sudut di ruang tamu kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang melukis sesuatu di buku lukisannya yang bercorak Upin Ipin .

"Adik , lukis apa tu ?", Lisa menegur dari belakang . Anak kecil tadi segera berpaling . Dia senyum . Lisa membalas . Lalu dia duduk di bangku kecil bersebelahan kanak-kanak tadi .

"Adik lukis gambar keluarga , adik . Yang ini ibu . Yang ini Kak Lela . Yang ini abang long", jelasnya sambil menunjukkan lukisan empat orang yang dilakarnya . Lisa menggangguk .

"Kalau ini ibu , ini kakak dan yang ini abang , gambar ayah mana ? Yang kecil ni mesti gambar adik , kan ?"

"Ayah tak ada . Adik tak pernah tahu muka ayah . Jadi adik tak lukislah". Lisa seakan-akan mengerti maksud anak kecil itu . Dia menggangguk perlahan . Lalu diusap rambut anak kecil yang diikat dua sisi itu . Mereka berdua saling tersenyum .

"Nama adik siapa ?"

"Aileen . Kata abang itu nama ayah dengan ibu adik"

"Oh ye ? Sedap nama adik . Nama akak Lisa"

"Aileen !" Tiba-tiba namanya dipanggil . Aileen segera mencari-cari suara yang memanggilnya tadi . Rupa-rupanya salah satu cikgu di tadika itu .

"Abang Aileen dah sampai tu". Beritahu cikgu muda lepasan ijazah itu . Aileen menggangguk faham . Dikemas buku lukisan juga alat lukisannya itu . Lisa yang masih disisi membantu Aileen mengemas . Ditemani anak kecil itu ke muka pintu .

"Abang !". Ceria suara Aileen setelah melihat abangnya di pintu pagar tadika . Disambut mesra oleh abangnya itu . Lalu didukungnya Aileen . Dikucup pipi tembam Aileen . Saling tersenyum mereka berdua .

Lisa hanya berdiri di depan pintu . Ditenungnya lelaki yang dipanggil 'abang' oleh Aileen tadi . Matanya berusaha untuk terbuka luas untuk melihat dengan lebih jelas . Wajah lelaki itu seperti dikenalinya . Lalu dia menghampiri mereka berdua .

"Asfan ?"

"Eh ! Lisa !"


Tuesday, October 9

Babak Cinta #7

"Aku excited sangat ni , Lisa !", beritahu Shira yang sedang memandu dalam perjalanan menuju ke tadika mak cik saudaranya yang terletak berhampiran dengan bekas sekolah lamanya dulu . Lisa sekadar tersenyum melihat teman baiknya yang mula tidak sabar untuk menjadi guru tadika itu .

"Eh ! Kau tak happy ke ? Dari semalam lagi kau tak banyak cakap", tanya Shira yang melihat Lisa sekadar tersenyum dan menggangguk saja bila diajukan soalan dari tadi .

"Aku okey . Aku pun excited . Itu yang jadi speechless , kau tahu ?". Jelasnya cuba menafikan . Shira menggangguk . Enggan untuk meneruskan perbualan . Fokusnya kini hanya mahu cepat sampai ke Tadika Cinta Sayang mak Ngahnya itu .

Setibanya di tadika tersebut , mereka segera masuk ke dalam . Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam dari rumah Lisa . Mereka sedikit beruntung kerana keadaan di jalan raya pagi itu sangatlah lancar . Tiada kesesakan seperti hari biasa .

Jam menunjukkan tepat pukul sembilan setengah pagi . Ketika itu semua kanak-kanak sedang belajar di ruangan masing-masing seperti yang dijadualkan . Namun masih kedengaran suara riuh mereka yang sepertinya seronok sekali mempelajari apa yang diajar oleh guru mereka .


"Baru sampai Shira ?", tanya Puan Mastura yang muncul di ruangan depan tadika setelah mendengar seperti ada bunyi kereta berhenti tadi .

"Ya , mak Ngah . Shira datang dengan Lisa , Karlisa Najwa anak uncle Khalid tu , mak Ngah ingat ?", ujar Shira memperkenalkan Lisa . Lalu Lisa menyalam Puan Mastura yang kelihatan usianya kini mencecah 50 tahun kiranya . Ditenungnya Lisa , lalu dia menggangguk perlahan tanda ingat . Mereka berdua saling tersenyum .

"Masuklah . Kita boleh berborak dalam ofis . Boleh panjang lebar lagi , kan ?", ajak Puan Mastura . Shira dan Lisa sekadar menurut .


* * * * *

Kedengaran seperti ada sesuatu yang terjatuh di kediaman rumah teres milik keluarga Asfan . Kak Lela yang sedang mencuci pinggan di dapur memberhentikan kerjanya . Segera memeriksa kerana risau jika Puan Lina yang terjatuh .

"Asfan !"

Jerit Kak Lela iaitu penjaga ibunya apabila melihat ibu Asfan sudah terjatuh dari kerusi rodanya . Dia cuba untuk berdiri sendiri namun gagal .

Segera Lela mengangkat tubuh puannya walaupun dia tahu dengan tenaganya saja belum cukup mampu mengangkat tubuh orang tua yang sedikit berisi itu . Lalu Asfan muncul di muka pintu . Dia terkejut setelah melihat ibunya sudah jatuh terduduk di tepi almari kecil itu . Segera dia membantu mengangkat badan ibunya ke atas katil berhampiran .

"Kak Lela letakkan bantal di situ . Biarkan ibu baring", arah Asfan . Segera dituruti . "Ibu nak ke mana tadi ? Macam mana boleh jatuh ni ? Kalau ibu nak apa-apa , panggil je Kak Lela"

"Ibu nak cuba jalan , Fan . Tak akan selamanya ibu nak duduk atas kerusi roda tu . Ibu nak cuba jalan . Ibu nak cuba", rintihnya pada anak sulungnya itu .

Sebaik saja ibunya dibaringkan di atas katil . Asfan mengusap-usap rambut depan ibunya yang terlepas dari ikatan itu ke belakang .

"Ibu , ibu janganlah susahkan diri macam ni . Kalau ibu perlukan apa-apa , minta saja daripada Kak Lela atau Asfan sendiri . Sekarang ni Asfan ada di rumah , boleh lah Fan tolong . Kalau esok lusa ibu jatuh lagi masa Asfan tak ada di rumah macam mana ? Kesian Kak Lela jugak , bu" . Pujuknya lembut .

Dia tahu selepas kemalangan yang meragut ayahnya lima tahun lalu turut menyebabkan ibunya lumpuh juga . Dia bersyukur ibunya masih hidup walaupun berat menanggung duka selepas kehilangan ayahanda tercinta kerana adiknya yang kini berusia lima tahun pasti sangat memerlukan kasih sayang seorang ibu untuk membesar .

"Tapi sampai bila ibu nak macam ini , Fan ? Ibu tak sanggup . Ibu nak juga cuba jalan walaupun doktor kata ibu tak punya harapan . Cubalah faham perasaan ibu ni , nak". Air mata ibunya terus jatuh . Tangan kanan Asfan menyentuh pipi ibunya lalu dia mengusap air matanya .

Sebagai seorang ibu , dia tidak sanggup untuk terus berdiam diri membiarkan anak sulungnya itu sendiri mencari rezeki buat mereka sekeluarga . Walaupun dia tahu anaknya itu tidak kisah , namun jauh di sudut hati seorang ibu mana yang sanggup melihat kebahagian anaknya ditolak tepi semata-mata untuk dirinya yang tidak berdaya itu .

"Ibu , Fan tahu ibu nak tolong Fan juga untuk keluarga kita . Tapi janganlah terlalu memaksa diri ibu . Asfan tak sanggup terima kalau ada apa-apa berlaku pada ibu . Adik perlukan ibu lebih . Biarlah Fan yang menyara keluarga selagi Fan mampu . Biarlah Fan membalas jasa ibu dangan abah yang bersusah payah membesarkan Fan selama ni . Ya , bu ?".

Asfan terus memeluk ibunda yang dicintai itu dengan erat . Ibunya membalas pelukan anaknya itu dengan rasa bangga dan bersyukur mempunyai seorang anak yang cukup sempurna di matanya . Kak Lela yang memandang dari tadi turut terharu dengan kasih sayang mereka yang begitu utuh .


Saturday, October 6

Babak Cinta #6

      Lisa duduk . Ditenung lama telefon pintar yang dipegang kedua-dua tangannya . Malam ini seleranya habis hilang untuk menikmati masakan mamanya . Cuba memancing diri , namun gagal . Dia tewas dengan perasaannya sendiri .

Fikirannya buntu . Fikirannya celaru . Hatinya gusar sendirian . Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya sekarang . Mati . Seolah-olah mati perasaan yang bagai dilanda tsunami tadi siang . Mungkin lagi parah . Jejaka yang ditunggu selama ini rupanya ada berdekatan dengan dirinya kini . Apa yang sedang berlaku , dia juga bingung .

'Kenapa tidak dari dulu lagi ? Kenapa perlu tiga tahun untuk muncul ? Kenapa tidak dari dulu lagi ?!', desis hatinya marah . Buntu . Tiada jawapan yang mampu menyedapkan hatinya kini .

Kedua-dua matanya bagai dilarang sama sekali untuk mengeluarkan air mata dari tadi . Dia perlu bertahan lagi sangkanya . Lalu pandangan matanya beralih ke suatu sudut di tepi meja belajarnya . Terdapat sebuah kotak kecil disitu . Corak yang ada pada kotak itu sudah kelihatan agak pudar . Sepertinya lama sudah dia menyimpan kotak itu . Dibuka penutupnya lalu dikeluarkan satu persatu barang yang ada di dalam . Sehinggalah ke sampul surat yang berwarna jingga itu . Kelihatannya disitu dia menyimpan kesemua kenangannya bersama jejaka yang berjaya melembutkan hatinya suatu ketika dahulu .

"Najwa kena pindah rumah dengan sekolah je , bukannya sampai kena pindah dari bumi ni . Janganlah monyok sangat muka tu". Pujuk Isham pada Karlisa Najwa yang sedang duduk di hadapannya . Dia menunduk saja dari tadi . Hatinya kini bercampur baur . Ingin marah atau kesal , dia sendiri pusing . Jelas kerutan di dahinya yang agak luas itu walaupun di tutup sedikit dengan tudung bawal yang dipakainya .

"Is rasa mesti papa dengan mama Najwa pun berat hati nak pindah . Tapi kalau dah masuk soal kerja , terpaksalah mereka menurut . Papa dengan mama Najwa kan cari rezeki untuk tanggung Najwa jugak . Najwa kena faham". Pujuknya lagi . Lisa masih bermasam muka mendengar . Matanya menjeling saja dari tadi . Isham tiba-tiba ketawa kecil melihat perlakuan Lisa .

"Senior gelakkan saya ?!". Terasa dirinya di ejek . Matanya membundar .

"Eh ! Taklah . Awak ni kelakarlah saya tengok . Dari tadi monyok macam ni pun tetap manis juga rupa tu . Bertuah saya dapat tengok", Isham yang cuba memancing senyuman Lisa . Malah senyumannya sendiri masih terukir diwajah melihat gadis yang telah mula mencuri perhatiannya kini . Namun masih kelihatan kerutan di dahi Lisa . Mulutnya memuncung .

'Main-main pulak dia ni . Orang tengah sakit hati ni , nak pujuk tu betul-betul lah !', desis hatinya yang tiba-tiba seakan terbit rasa malu di usik sedemikian . Enggan untuk terus memandang wajah seniornya itu . Dia beralih pandangan ke tepi . Isham masih terus tersenyum melihat perlakuan Lisa .

'Wa , walaupun hanya seketika masa untuk kita di sini . Mohon jangan dilupa diri ini'. Senyuman itu terus melekat di wajah kacak Isham . Tangan kirinya diletakkan di mulut . Cuba mengawal perasaan . Dia tidak mahu terlalu gopoh . Masanya agak kurang sesuai bisiknya .

Lisa mula kurang selesa dengan tenungan Isham . Ditambah lagi senyumannya buat dia berasa teramatlah janggal .

"Saya balik dulu la ya , dah petang ni . Assalamualaikum". Pintanya lalu segera beredar dari taman permainan kawasan kediaman rumahnya yang lama .

"Najwa !", panggil Isham selepas itu . Dia berdiri . Lisa berpaling . "Kita akan jumpa lagi nanti , kan ?"

Lisa terdiam . Tidak tahu mahu dijawab apa . Kalau diikutkan hatinya , dia enggan meninggalkan tempat dia membesar itu . Ditambah lagi dengan kehadiran Isham yang membuat hari-harinya selama ini terasa senang sekali . Kini , dia harus meninggalkan segalanya kerana kedua ibu bapa nya telah dipindahkan kerja . Hatinya benar-benar 'berat' kini .

"Kalau mama melawat emak Nazmi ke nanti , kita akan jumpa". Ujarnya sambil tersenyum . Lalu dia menundukkan sedikit kepalanya tanda pamit pada Isham . Isham turut menggangguk lalu tersenyum . Tangan kanannya diangkat .

Tiba-tiba airmatanya mulai bergenang tika dia mengingatkan kembali segala peristiwa bersama Isham . Foto-foto mereka berdua ditenung kembali . Pandangannya sayu . Kalau dulu , Isham yang menenangkan hatinya tapi kini Isham sendiri yang merobek hatinya . Bagaimana harus dia lakukan segalanya sendirian kini ? Lalu jatuhlah airmatanya pada foto-foto mereka berdua .

Telefon bimbitnya berdering . Lamunannya terhenti . Dikesat air matanya . Dicapai kembali telefon bimbitnya yang di atas katil . Lisa tersenyum apabila melihat nama Shira yang tertera .